2016年6月22日星期三

Berita tentang ketahanan antibiotik di Malaysia

Isu tentang ketahanan antibiotik semakin membimbangkan di negara kita dan dilaporkan di berita televisyen.








Maklumat penting tentang ketahanan antibiotik

Ketahanan antibiotik juga dikenali sebagai kerintangan antibiotik.
Saksikanlah video tersebut yang mengandungi maklumat yang amat penting tentang perkara ini.
Ketahuilah faktor ketahanan tersebut dan langkah untuk mengelakkannya!

Sumber: https://www.youtube.com/watch?v=BESxEInf7_o

Jadi, ikutlah petua dalam video ini apabila anda mengambil antibiotik!
Janganlah makan antibiotik sesuka hati dan tidak menghabiskannya...

2016年6月21日星期二

Perkongsian: APABILA ANTIBIOTIK TIDAK BERKESAN


- BERNAMA, 8 November 2012


Sudah lapan dekad, antibiotik dan antimikrob digunakan dengan meluas untuk merawat mereka yang menghidap penyakit berjangkit.

Sejak 1940-an, ubat-ubatan ini terbukti berkesan dalam merawat dan mengurangkan dengan ketara kadar kematian akibat penyakit seperti itu.

Bagaimanapun, pengamal perubatan berkata antibiotik hanya berkesan sekiranya diberi preskripsi dan digunakan secara betul.

Namun, oleh kerana digunakan secara meluas sejak sekian lama, mikroorganisme membentuk strain baharu yang mampu merintang kesan antibiotik dan ini menjadikan antibiotik kurang berkesan.

Ketua Penolong Pengarah (Kawalan Jangkitan) Kementerian Kesihatan, Dr. Suraya Amir Husin berkata, penggunaan antibiotik secara tidak betul dan tidak rasional boleh menyebabkan munculnya mikroorganisme yang kebal.

"Keadaan ini dikenali dalam dunia perubatan sebagai Rintangan Antimikrob (AMR)," katanya.

AMR merujuk kepada kekebalan sesuatu mikroorganisme terhadap sesuatu agen antimikrob yang sebelumnya begitu sensitif terhadap antimikrob berkenaan.

Organisme perintang (bakteria, virus dan sesetengah parasit) mampu bertahan terhadap tindakan antimikrob seperti antibiotik dan antivirus yang menjadikan rawatan standard tidak berkesan.

Natijahnya, jangkitan terus wujud dan boleh merebak kepada orang lain.

Dr. Suraya berkata, AMR wujud akibat penyalahgunaan antimikrob dan keadaan ini berlaku apabila sesuatu mikroorganisme memutat atau menjadi kebal.

Kesedaran

Dr. Mohamed Azmi Hassali dari Universiti Sains Malaysia berkata, mengubah sikap dan meningkatkan pengetahuan orang ramai tentang penggunaan antibiotik merupakan langkah yang boleh memulihara keberkesanan antibiotik.

"Perlu difahami bahawa isu berkaitan AMR tidak hanya terhad kepada penggunaan antibiotik secara tidak rasional untuk rawatan, tetapi lebih jauh daripada itu.

"Sebagai contoh, penggunaan antibiotik secara tidak rasional dalam makanan haiwan turut menyumbang kepada kemunculan patogen dalam ekosistem kita," katanya.

Ketahanan antibiotik perlu dikaji melampaui tempat yang diinstitusikan seperti hospital kerana kebanyakan amalan paling tidak rasional dalam pemberian preskripsi dan antibiotik turut berlaku dalam masyarakat, katanya.

Kesan Jangkitan berpunca daripada mikroorganisme perintang selalunya tidak memberi respons kepada rawatan standard dan ini mengakibatkan kesakitan berpanjangan serta meningkatnya risiko kematian.

AMR mengurangkan keberkesanan rawatan kerana pesakit akan terdedah kepada jangkitan lebih lama dan berpotensi menyebarkan mikroorganisme perintang kepada orang lain. Sekali gus, ia boleh mewujudkan kembali keadaan pra-antibiotik.

Kewujudan AMR menyebabkan kebanyakan risiko jangkitan menjadi tidak boleh dikawal dan boleh memusnahkan kemajuan ke arah mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Milenium Pertubuhan Bangsa Bersatu berkaitan kesihatan menjelang 2015.
Apabila jangkitan menjadi kebal terhadap ubat-ubatan barisan awal, terapi lebih mahal perlu digunakan. Peningkatan tempoh sakit dan rawatan akan meningkatkan kos penjagaan kesihatan dan memberi beban kewangan kepada keluarga terbabit serta masyarakat.

Sesungguhnya, kemunculan AMR mencabar kemajuan dalam bidang perubatan moden.

Tanpa wujudnya antimikrob berkesan dalam pemberian penjagaan kesihatan dan pencegahan jangkitan, kejayaan kaedah rawatan seperti pemindahan organ, kemoterapi kanser dan pembedahan, sudah pasti akan terjejas.

Justeru, satu kaji selidik untuk menilai pengetahuan asas masyarakat tentang antibiotik dijalankan di Jelutong, Pulau Pinang dari 18 hingga 20 Jun tahun ini.

Ia merupakan kerjasama antara Yayasan Bina Ilmu Pulau Pinang (sebuah NGO di daerah Jelutong) dan para penyelidik dari USM yang melibatkan 64 responden.

Hasil kaji selidik ini mendedahkan tahap kesedaran orang ramai tentang antibiotik yang sungguh membimbangkan.

Kekurangan pengetahuan dalam kalangan majoriti responden menunjukkan langkah perlu diambil agar mereka lebih berpengetahuan tentang penggunaan antibiotik.

Kaji selidik itu juga menunjukkan wujudnya kaitan antara tahap pendidikan dan pengetahuan tentang rintangan antibiotik.

Responden yang berpendidikan hingga sekolah menengah nampaknya lebih sedar tentang ketahanan antibiotik dan ini membayangkan bahawa mereka yang mendapat pendidikan tinggi, lebih faham tentang penggunaan antibiotik.

Respons tentang bahaya yang ada kaitan dengan penggunaan antibiotik (rintangan antibiotik, kesan sampingan) didapati mempunyai perbezaan besar antara tahap pendidikan, status pekerjaan dan jumlah lawatan ke klinik atau farmasi.

Data yang dikumpul juga menunjukkan majoriti responden dalam kaji selidik ini memiliki pengetahuan berkadar sederhana tentang antibiotik dan mempunyai sikap yang betul tentang penggunaan antibiotik.

Ini menunjukkan bahawa pendidikan secara terancang tentang penyalahgunaan antibiotik perlu diberi untuk meningkatkan pengetahuan anggota masyarakat mengenai penggunaan antibiotik secara betul.

Kenali antibiotik


Antibiotik



Antibiotik merupakan sejenis sebatian kimia yang digunakan untuk melawan jangkitan mikroorganisma seperti kuman atau bakteria.

Antibiotik boleh diperolehi daripada sumber biologi seperti kulat dan mikroorganisma. Dengan kemajuan dalam kimia organik, antibiotik kini juga boleh dihasilkan melalui sistesis kimia. Ubat antiobiotik bertindak dengan membunuh kuman yang menyebabkan jangkitan.

Semua ubat antiobiotik mesti dimakan sehingga habis. Ini adalah untuk memastikan semua mikroorganisma yang menyebabkan penyakit yang telah dibunuh untuk mengelakkan terdapatnya mikroorganisma yang akan imun kepada antibiotik tersebut.

Sumber: https://ms.wikipedia.org/wiki/Antibiotik

Apa itu ketahanan antibiotik?

Saksikan video tersebut untuk mendapat pengetahuan awam.


Sumber: https://www.youtube.com/watch?v=FHogR4_kacM

Secara ringkasnya, ketahanan antibiotik merupakan keadaan di mana bakteria mempunyai kekebalan terhadap ubat antibiotik yang sepatutnya dapat memusnahkannya.